ARISEL BA, bAA DAN bALQIS

ARISEL BA, bAA DAN bALQIS
Di LCCT KLIA SEPANG 16 JULAI 2011

Rabu, 25 Januari 2012

GELIAT WAKIL RAKYAT 5



GELIAT WAKIL RAKYAT 5
Sajak: Arisel Ba

Pilihan raya di adakan dalam masa terdekat
suasana amat menggelisahkan wakil rakyat
mereka hanya ada dua pilihan muktamad
masih dikekalkan sebagai wakil rakyat
atau dibersarakan dengan rela atau paksaan

Dia tidak mahu tragedi ini menimpa dirinya
baru sepenggal dipilih sebagai wakil rakyat
semua orang memanggilnya Yang Berhormat
tetapi sejak mutakhir ada rakyat membencinya
pelbagai fitnah dan tohmah dilemparkan
banyak cerita rekaan, fitnah disebarkan
dan ada isu yang benar membabitkan dirinya
dia tidak berdaya hanya diam, resah dan sugul

Dia terus memeras akalnya berhari-hari
lalu mendapat idea yang bernas sekali
dia perlukan wang, wang yang banyak
buat menyejukkan hati pengundinya
lalu dia menjual tiga buah kereta mewah
dan dijual juga beberapa ekar tanah
yang sebelum ini milik orang kampungnya
ditebus daripada beberapa buah bank

Tujuannya hanya satu:
semoga pimpinan atasan memilih dia
sebagai calon partinya untuk bertanding
dalam pilihan raya akan datang

Dan dalam sebuah majlis mesra rakyat
dia pun berucap berapi-api di atas mimbar
menceritakan jasa yang telah dinikmati
oleh ramai pengundi di kawasannya
diiringi tepukan, ada juga menjuihkan bibir



Ucapnya: “ Bapak-bapak, ibu-ibu, adik kakak.
Hari ini saya akan berikan sedikit wang
untuk meringankan beban kenaikan
harga barangan dan pasti selesa hidup
dalam krisis ekonomi antarabangsa
sedang melanda Negara kita.”

Tiba-tiba dari hujung sebelah kiri
ada suara nyaring garau berkata:
“ Kami tidak mahu wang Yang Berhormat”.

Dia kehairanan dan bertanya:
“ Kenapa wang yang mahu saya beri,
kamu tidak mahu menerimanya?”

Dengan lantang suara itu berkata:
“ Yang Berhormat beri wang kepada kami
sedikit jumlahnya, tidak senilai sokongan
yang kami beri sudah bertahun-tahun,
tetapi kehidupan kami tetap begini,
terus ditipu, ditipu, dan bercakap bohong.
Nanti jika Yang Berhormat dipilih lagi
pasti merompak harta dan kehidupan kami
dengan lebih rakus lagi,” suara nyaring
itu diberi tepukan gamat gempita

Dia diam-diam turun dari mimbar
lantas meninggalkan majlis itu
dengan amat sugul dan berwajah murung

25 Januari 2012,
Kg. Tranum, Tras
Raub, Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan