ARISEL BA, bAA DAN bALQIS

ARISEL BA, bAA DAN bALQIS
Di LCCT KLIA SEPANG 16 JULAI 2011

Isnin, 26 Mac 2012

MIMPI SANG POLITIKUS ( 1 )


Sajak: Arisel Ba


sekembalinya daripada sidang parlimen
Sang Politikus itu pun merehatkan diri
di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur
fikirannya kusut amat kerana dalam sidang
dia hebat berdebat masalah manipulasi
harga barangan, situasi tunai bercelaru
dan fitnah musuh politiknya semakin marak
lalu Sang Politikus itu pun terlelap:

Sebuah bas kondisi mewah sedang
membawa 30 orang Ahli Parlimen
ke destinasi program mesra rakyat
di sebuah perkampungan di pedalaman
dengan melalui jalan raya bengkang-bengkok
tatkala bas mewah itu melalui jalan tanah merah
debu jalan berwarna perang itu menyukarkan
pemandangan pemandu bas memandu selesa
lalu terlanggar sebatang pohon tualang
berhampiran kebun pisang si Petani Tua desa

Si Petani Tua segera berkejar mahu mengambil tahu
ke arah bunyi dentuman kuat mendiamkan unggas
lalu mendapati sebuah bas mewah telah terkopak
bahagian hadapannya, cermin pecah dan suara
penumpang bas mengerang kesakitan dan ada
yang meminta tolong, ada yang menjerit dan
ada beberapa orang penumpang bas tercampak
dari perut bas dan pengsan, ada yang meracau

 Si Petani Tua segera menggali sebuah lubang
berhampiran pokok tualang itu dan apabila siap,
dia segera mengangkat semua Ahli Parlimen itu
lalu menguburkannya dalam satu lubang besar

Beberapa hari kemudian seorang wartawan
ditugaskan membuat tinjauan ke kawasan
kemalangan itu dan hanya menjumpai
bangkai bas mewah sedang penumpangnya
tidak dapat dikesan, darah kering sebagai bukti

lalu wartawan itu bertanyakan sesuatu
kepada si Petani Tua yang sedang
menanam benih pisang di atas
tapak lubang besar kuburan Ahli Parlimen,
“ Apakah mereka semua mati?”

Si Petani Tua itu menjawab penuh yakin,
“ Begini, beberapa orang daripada mereka
telah berkata bahawa mereka belum mati.
Tapi anda sudah tahu pasti betapa seringnya
politikus itu berbohong dan bercakap auta semata.”
Wartawan itu pun bungkam.

Sang Politikus itu terjaga
dari sekian banyak mimpi ngerinya

26 Mac 2012,
Kg. Tranum, Tras,
Raub, Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan