GELAGAT ANAK SEKOLAH 1
Sajak: Arisel Ba
suatu pagi cerah di sebuah sekolah kebangsaan di
pedalaman, terdengar dari sebuah kelas darjah enam teramat bising dengan suara
anak-anak sekolah, lantas seorang Polis Bantuan yang bertugas menjaga
keselamatan, ketenteraman dan wibawa sekolah berkejar ke arah kelas itu, lalu
mendapati guru darjahnya tidak ada dan keadaan kelas lintang pukang dan
anak-anak sekolah berkejaran sesama rakan mereka.
Polis Bantuan itu segera memasuki kelas dan cuba
menenangkan keadaan dengan mengarahkan anak-anak sekolah duduk di kerusi
masing-masing dan dia sendiri bertindak sebagai guru dengan mengajar mata
pelajaran Sejarah Negara, lalu dia menguji daya ingat dan daya intelek mereka
“ Guru kelas kamu sedang bermesyuarat, oleh itu kamu
semua jangan membuat bising. Saya akan ceritakan mengenai Sejarah Negara, bahawa
British telah menjajah Negara ini sejak tahun 1786 hingga 31 Ogos 1957 Dan
mulai tahun 1893 British mentadbir Negara ini dari Bangunan Sultan Abdul Aziz
di Kuala Lumpur. Kamu semua faham?”
Anak-anak sekolah serentak menjawab, “ Kami faham….!”
Dengan suara keras Polis Bantuan itu cuba mahu menguji
dan menyoal, “ Siapakah yang menurunkan bendera Union Jack pada tanggal 31 Ogos
1957?”
Semua anak-anak sekolah dalam kelas itu ketakutan dan
serentak menjawab, “ Bukan kami, Pak Sekuriti!. Bukan kami Pak Sekuriti!.
Jangan tangkap kami!. Jangan tangkap kami!.“ dan dengan pantas anak-anak
sekolah itu keluar dari kelas lalu bersembunyi.
28 Mac 2012,
Kg. Tranum, Tras,
Raub, Pahang.