ARISEL BA, bAA DAN bALQIS

ARISEL BA, bAA DAN bALQIS
Di LCCT KLIA SEPANG 16 JULAI 2011

Khamis, 24 Mei 2012

KOPI SUSU DAN GARAM



KOPI SUSU DAN GARAM
Sajen: Artisel Ba

selepas menebas kebun pisang
Olie dan Abun terasa haus amat
mereka menaiki motosikal dan
mendatangi warung di pinggir jalan
untuk minum, bersantai melepas lelah

akibat tidak cukup wang
untuk membeli segelas kopi susu
maka Olie dan Abun memutuskan
segelas kopi susu dikongsi minum berdua

Abun pun membuka bicara,
“Kamu minum dulu setengah gelas
kerana aku hanya ada gula
cukup untuk rasa manis seorang.
aku akan menuangkan gula ini
ke dalam kopi susu bahagianku.”

Olie menjawab, “Tuangkan sekarang
dan aku akan minum setengahnya.”

 "Aku tidak mahu. Sudah aku katakan,
gula ini hanya cukup membuatnya
manis setengah gelas kopi susu", tukas Abun

Lalu Olie pergi semula ke Warung
dan kembali membawa sekilo garam

Dari jauh Olie memberitahu Abun,
“Ada berita baik. Seperti telah kita setuju,
aku akan minum kopi susu ini dahulu.
Aku minum bahagianku dengan garam ini."

Abun terkedu dan matanya tidak berkelip takjub

25 Mei 2012
Kg. Tranum, Tras,
Raub, Pahang





Rabu, 23 Mei 2012

RIADAH 1MALAYSIA



Sajak: Arisel Ba

Tarik nafas daripada perut bumi
Hembus perlahan ke dada perbukitan
Satu
          Dua
                   Tiga

Tarik nafas daripada usus bangsa
Hembus perlahan ke wajah langit
Satu
          Dua
                   Tiga

Larian setempat riadah 1Malaysia
Satu
          Dua
                   Tiga
Peluh membasah tanah
Segar  udara mendingin tubuh
Larian setempat riadah 1Malaysia
Satu
          Dua
                   Tiga

Tarik nafas daripada kerongkong massa
Hembus perlahan ke lembah makmur
Satu
          Dua
                   Tiga

Tarik nafas dari danau perkauman
Hembus perlahan ke gunung muhibah
Satu
          Dua
                   Tiga

17 Mei 2012,
Dewan Konvesyen Sime Darby
Bukit Kiara, Kuala Lumpur

Isnin, 14 Mei 2012

MELANGGAR ETIKA



MELANGGAR ETIKA
Sajak: Arisel Ba

selepas musim haji, lima orang Ahli Parlimen
menyeludup masuk ke Negara Israel
berjumpa dengan Mahaguru Etika
di samping mempelajari perihal etika
di Negara berkenaan berhubung
dengan keselamatan dan kemanusiaan

ketika sesi dialog berlangsung
seorang Ahli Parlimen mengajukan pertanyaan
kepada Mahaguru Etika berketurunan Yahudi itu,
“Bolehkah tuan memberitahu
salah satu bentuk melanggar etika
ialah gerakan tentera Israel mengebom bumi Ghaza?”

Mahaguru Etika pantas menjawab,
“Pengeboman Ghaza untuk menghancurkan
pengganas dan jaringan keganasannya
demi menjaga keselamatan Israel
dan menyelamat akan bangsa Yahudi dari
serangan roket dari arah sana!”

dan seterusnya Mahaguru Etika itu menjelaskan,
“Semua Yang Berhormat ini
sudah melanggar etika Negara kamu
apabila menyeludup masuk ke Israel!”
semua lima Ahli Parlimen itu
terkedu dan terlopong….

10 Mei 2012,
Kg Tranum, Tras
Raub, Pahang