ARISEL BA, bAA DAN bALQIS

ARISEL BA, bAA DAN bALQIS
Di LCCT KLIA SEPANG 16 JULAI 2011

Ahad, 18 Disember 2011

BUKAN TIDAK MAHU BICARA



BUKAN TIDAK MAHU BICARA
sajak: arisel ba

bukan aku tidak mahu bicara
perihal ideologi diri beragam strategi
kerana jika bicara mengenai kenegaraan
aku rasai denyut nafas rakyat dimanipulasikan
politikus sudah lama membius dengan slogan
demi perjuangan agama, bangsa dan Negara
dengan kedua mataku dibutakan
telinga ditulikan, mulut dibisukan
dengan pelbagai program membasuh otak

bukan aku tidak mahu bicara
perihal prinsip diri beragam strategi
kerana jika bicara mengenai kehidupan
aku rasai denyut nadi rakyat disandiwarakan
politikus sudah lama membius dengan slogan
demi perjuangan sosiobudaya dan angka ekonomi
dengan turun naik nilai saham bahan komoditi
turun naik harga barangan pengguna bersubsidi
bekalan air di subsidi
bekalan elektrik di subsidi
minyak dan beras ada subsidi
persekolahan anak-anak pun bersubsidi
hidup rakyat jelata dalam penjara subsidi

bukan aku tidak mahu bicara
biarkan aku dengan kebutaan
biarkan aku dengan ketulian
biarkan aku dengan kebisuan
kerana buta, tuli, bisu bukan penyebab
menyembunyikan telur kejantananku
mencerap segala rintangan dan cabaran
meneruskan perjuangan tanpa batasan
mungkin ada sedikit waktu untuk diri ini
aku teguhkan solat dan zikir kepada Allah
dan mungkin tiba waktunya nanti
aku akan kembali berbicara
perihal ideologi diri, mengenai prinsip diri

bukan aku tidak mahu bicara
tunggu tatkala aku siap siaga
mengatur bidak-bidak strategi
hari ini aku undur selangkah ke belakang
esok aku melompat lima langkah ke hadapan

18 Disember 2011,
Tranum, Tras, Raub, Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan