Lagu Patriotik - Azhar Shariff - Malaysia Berjaya
ASAPNYA
MENJEREBU BUMI MALAYA
Sajak:
Arisel Ba
Tatkala
aku menyedut putih asap dari sebatang pipa tembakau membaca Pahang, Malaya,
Serawak, Sabah dan aku mengeja SATU MALAYSIA, menangkap desah nafas dan resah
hidup 26 juta orang rakyat digulatkan igau dan mimpi masih belum melepasi sembilan
cabaran gagasan Wawasan 2020, menggapai 70 juta orang umat Negara dibungkus
ekonomi bebas politik terpimpin, sosial…. Sabar dulu kini era transformasi, transformasi
ekonomi, transformasi politik, transformasi sosial, masih ada yang belum beres,
kerana perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum sempurna.
Dan
di langit, Measat 1 dan Measat 2 ketika mengumpul data Koridor Raya Multimedia,
satu, dua, tiga… dan lebih ratusan pemain politik sedang mengangkang dan berak
atas kepala rakyat jelata, dengan perkhabaran baik amat sedikit sedang virus
fitnah menyesakkan nafas. Negaraku Malaysia masih menjadi lubuk emas pendatang
asing, maaf, aku mahu bertanya siapakah dalang-dalang yang membawa masuk
pendatang asing lebih dua juta dari Indonesia dan lebih setengah juta dari
Bangladesh, transformasi sosial… sabar dulu, ada yang belum beres atas
perjuangan seseorang atau banyak orang masih belum sempurna.
Menyedut
putih asap dari sebatang pipa tembakau dan masih aku dengar jeritan pohon-pohon
di rimba belantara, tumbang manakala bukit demi bukit digondol, udara
berjerebu, sekali sekala tanah runtuh banjir kilat aku menatap ribuan gadis
bohsia bunting selepas tidur dengan teman lelaki, atau sugar daddy atau
diperkosa secara paksa, kesannya buang anak di mana-mana juga, tepi jalan,
stesen bas, dalam tandas awam, tepi surau, pintu pagar rumah banglo, sedang
masih ada usaha mewujudkan bank bayi, bank air mani, tidak cukup dengan bank darah, aku diberitahu ada lebih
20,000 orang pembawa virus HIV, 60 peratus daripadanya remaja belia, dan masih
semarak jenayah juvana, sabar…. Sabar dulu, ada seseorang atau banyak orang masih
belum beres dan sempurna perjuangan mereka.
Bunga-bunga
bangsa di bumi Malaya dalam alaf transformasi sosial teknologi maklumat gemar
melepak, seluar dan bayu koyak rabak, kepala rambut mencacak, pikul gitar ke
hulu ke hilir, tenggelam dalam irama disko, rock kapak, dangdut, menelan beratus
pil-pil khayal, ligat goyang pinggul, pasar tubuh bagai belut, geleng-geleng
kepala, berkunang-kunang mata mereka kuyu dan tubuh lesu di bawah papan iklan
berlampu neon, atau di bawah jambatan atau di lobi pasar raya atau di terminal
bas berjuta-juta harapan murni ibu bapa musnah, sembalau, suara yang kacau lalu
berkumandang suara terkejut gejala sosial, gejala ekonomi, gejala politik,
semua penyakit di bumi Malaya bermula dari rumah kita sendiri, malu….ah, sosial….
Sabar dulu, ada yang belum beres perjuangan seseorang atau banyak orang masih
belum selesai.
Inilah
sajakku: sajak orang-orang terpinggir dalam menyatakan keberanian bersuara daripada
persoalan dan masalah bumi Malaya yang nyata apalah makna sekadar melolong
melengking keras digelapkan malam memukul canang sumbing, konon mencari diri
kerana di mana-mana masih wujud sikap pilih bulu, bulu apa, ah apakah maknanya
aku menjerit, memekik di depan forum langit jika fikiran-fikiranku sekadar
menjadi lelucon mereka yang sengaja membutakan akal terhadap gejala sosial ini….
Sabar dulu, ada yang belum beres perjuangan seseorang atau banyak orang masih
belum sempurna. Noktah.
20
September 2011,
Raub,
Pahang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan