ARISEL BA, bAA DAN bALQIS

ARISEL BA, bAA DAN bALQIS
Di LCCT KLIA SEPANG 16 JULAI 2011

Khamis, 24 Mei 2012

KOPI SUSU DAN GARAM



KOPI SUSU DAN GARAM
Sajen: Artisel Ba

selepas menebas kebun pisang
Olie dan Abun terasa haus amat
mereka menaiki motosikal dan
mendatangi warung di pinggir jalan
untuk minum, bersantai melepas lelah

akibat tidak cukup wang
untuk membeli segelas kopi susu
maka Olie dan Abun memutuskan
segelas kopi susu dikongsi minum berdua

Abun pun membuka bicara,
“Kamu minum dulu setengah gelas
kerana aku hanya ada gula
cukup untuk rasa manis seorang.
aku akan menuangkan gula ini
ke dalam kopi susu bahagianku.”

Olie menjawab, “Tuangkan sekarang
dan aku akan minum setengahnya.”

 "Aku tidak mahu. Sudah aku katakan,
gula ini hanya cukup membuatnya
manis setengah gelas kopi susu", tukas Abun

Lalu Olie pergi semula ke Warung
dan kembali membawa sekilo garam

Dari jauh Olie memberitahu Abun,
“Ada berita baik. Seperti telah kita setuju,
aku akan minum kopi susu ini dahulu.
Aku minum bahagianku dengan garam ini."

Abun terkedu dan matanya tidak berkelip takjub

25 Mei 2012
Kg. Tranum, Tras,
Raub, Pahang





Rabu, 23 Mei 2012

RIADAH 1MALAYSIA



Sajak: Arisel Ba

Tarik nafas daripada perut bumi
Hembus perlahan ke dada perbukitan
Satu
          Dua
                   Tiga

Tarik nafas daripada usus bangsa
Hembus perlahan ke wajah langit
Satu
          Dua
                   Tiga

Larian setempat riadah 1Malaysia
Satu
          Dua
                   Tiga
Peluh membasah tanah
Segar  udara mendingin tubuh
Larian setempat riadah 1Malaysia
Satu
          Dua
                   Tiga

Tarik nafas daripada kerongkong massa
Hembus perlahan ke lembah makmur
Satu
          Dua
                   Tiga

Tarik nafas dari danau perkauman
Hembus perlahan ke gunung muhibah
Satu
          Dua
                   Tiga

17 Mei 2012,
Dewan Konvesyen Sime Darby
Bukit Kiara, Kuala Lumpur

Isnin, 14 Mei 2012

MELANGGAR ETIKA



MELANGGAR ETIKA
Sajak: Arisel Ba

selepas musim haji, lima orang Ahli Parlimen
menyeludup masuk ke Negara Israel
berjumpa dengan Mahaguru Etika
di samping mempelajari perihal etika
di Negara berkenaan berhubung
dengan keselamatan dan kemanusiaan

ketika sesi dialog berlangsung
seorang Ahli Parlimen mengajukan pertanyaan
kepada Mahaguru Etika berketurunan Yahudi itu,
“Bolehkah tuan memberitahu
salah satu bentuk melanggar etika
ialah gerakan tentera Israel mengebom bumi Ghaza?”

Mahaguru Etika pantas menjawab,
“Pengeboman Ghaza untuk menghancurkan
pengganas dan jaringan keganasannya
demi menjaga keselamatan Israel
dan menyelamat akan bangsa Yahudi dari
serangan roket dari arah sana!”

dan seterusnya Mahaguru Etika itu menjelaskan,
“Semua Yang Berhormat ini
sudah melanggar etika Negara kamu
apabila menyeludup masuk ke Israel!”
semua lima Ahli Parlimen itu
terkedu dan terlopong….

10 Mei 2012,
Kg Tranum, Tras
Raub, Pahang




Ahad, 22 April 2012

GARA-GARA BUDAK PENGAKAP



Sajak: Arisel Ba
            
di sebuah perkhemahan budak pengakap
dari sebuah sekolah rendah di pedalaman
sedang melaksanakan aktiviti ikhtiar hidup
di Lata Jarum, pinggir sebuah rimba
seorang budak pengakap tidur pulas
di hujung cuping telinga wisel menjerit

akibat terlambat bangun
si budak pengakap ditinggalkan rakannya
berlarian ke lapangan berbaris siap siaga
si budak pengakap bangun tergesa-gesa
berlarian menuju ke lapangan

setiba si budak pengakap di lapangan
dilihat semua temannya
sedang dihukum ketuk ketampi
akibat terlambat hadir beriadah pagi itu

si budak pengakap segera melaporkan
kepada komandannya seorang guru
“ Saya siap terima perintah,” katanya

tiba-tiba komandan menampar
si budak pengakap… plak! plak! plak!
“ Kenapakah kamu?”

si budak pengakap menjawab,
“ Maaf, saya terlambat!”

komandan merengus lalu berkata,
“ Maksud saya, kenapakah kamu belum disunat?”

si budak pengakap menunduk kepalanya
betapa terkejut dia menyedari tubuhnya
hanya berbaju-T tanpa memakai celana dalam

22 April 2012,
Kg. Tranum, Tras, Raub, Pahang

Rabu, 28 Mac 2012

GELAGAT ANAK SEKOLAH 1


GELAGAT ANAK SEKOLAH 1
Sajak: Arisel Ba

suatu pagi cerah di sebuah sekolah kebangsaan di pedalaman, terdengar dari sebuah kelas darjah enam teramat bising dengan suara anak-anak sekolah, lantas seorang Polis Bantuan yang bertugas menjaga keselamatan, ketenteraman dan wibawa sekolah berkejar ke arah kelas itu, lalu mendapati guru darjahnya tidak ada dan keadaan kelas lintang pukang dan anak-anak sekolah berkejaran sesama rakan mereka.

Polis Bantuan itu segera memasuki kelas dan cuba menenangkan keadaan dengan mengarahkan anak-anak sekolah duduk di kerusi masing-masing dan dia sendiri bertindak sebagai guru dengan mengajar mata pelajaran Sejarah Negara, lalu dia menguji daya ingat dan daya intelek mereka

“ Guru kelas kamu sedang bermesyuarat, oleh itu kamu semua jangan membuat bising. Saya akan ceritakan mengenai Sejarah Negara, bahawa British telah menjajah Negara ini sejak tahun 1786 hingga 31 Ogos 1957 Dan mulai tahun 1893 British mentadbir Negara ini dari Bangunan Sultan Abdul Aziz di Kuala Lumpur. Kamu semua faham?”

Anak-anak sekolah serentak menjawab, “ Kami faham….!”

Dengan suara keras Polis Bantuan itu cuba mahu menguji dan menyoal, “ Siapakah yang menurunkan bendera Union Jack pada tanggal 31 Ogos 1957?”

Semua anak-anak sekolah dalam kelas itu ketakutan dan serentak menjawab, “ Bukan kami, Pak Sekuriti!. Bukan kami Pak Sekuriti!. Jangan tangkap kami!. Jangan tangkap kami!.“ dan dengan pantas anak-anak sekolah itu keluar dari kelas lalu bersembunyi.

28 Mac 2012,
Kg. Tranum, Tras,
Raub, Pahang.