ARISEL BA, bAA DAN bALQIS

ARISEL BA, bAA DAN bALQIS
Di LCCT KLIA SEPANG 16 JULAI 2011

Isnin, 5 Mac 2012

IKAN DI KOLAM



IKAN DI KOLAM
Haiku: Arisel Ba

 
ikan di kolam
berenang berpasangan
tenang di hati

3 Mac 2012
Kg. Tranum, Raub

Selasa, 28 Februari 2012

MENGEJAR PELANGI



MENGEJAR PELANGI
Sajak: Arisel Ba

Aduhai kerdil diri
jangan engkau nanti
terkejar-kejar pelangi
tumbuh tatkala hari petang
hujan panas pada jalan lempang
semakin dikejar meredah ilalang
semakin menjauh cahaya pelangi

inilah lumrah kehidupan manusia
mata tertipu rona dunia
sedang jauh di lautan kalbu
ada racun bisa sedang dicipta
untuk siapakah itu?

mengejar pelangi
bagaikan mengejar tipuan maya

28 Februari 2012,
Kg. Tranum, Tras
Raub, Pahang

KELAM MALAM DI TUJUH LAUTAN



Sajak: Arisel Ba

malam kelam sauh pun melabuh di tujuh lautan teduh si pauh janggi pinjamkan marah menyala mentari ke wajah bulan rawan dinihari

dan aku pun menjana saudagar mimpi dalam rangkulan dan bisikan cinta isteri di kelam malam yang diselimuti dingin
ditayangkan mimpi daripada tujuh lautan

kelam malam di tujuh lautan, bulan rawan merakam mimpi mentafsir zaman edan

kelam malam di tujuh lautan, marah mentari tiba-tiba taufannya menggerhanakan bulan

29 Januari 2012,
Kg, Tranum, Tras,
Raub, Pahang

MELANGKAH KE DUNIA PERSARAAN



MELANGKAH KE DUNIA PERSARAAN
Sajak : Arisel ba


Silakan duduk, selamat datang di graha sajakku. Di sinilah aku bersarang, di kaki Bukit Fraser, Desa Tranum namanya mengerami telur-telur ilhamku dan menipu musim dengan kesejukan dari rimba belantara Titiwangsa di dadaku. Sebentar lagi aku akan merebuskan air, menyeduh kopi belut dan sedikit fiksi tentang tuhan yang satu: ALLAH dan ramai yang menyekutukan, mereka tergelincir akidah, moga aku tidak begitu. Jangan kaget, di negeriku ayat-ayat ALLAH mudah dibeli dan dikemas dalam jubah api. Rakyat kebanyakannya jarang membaca, jadi tidak mudah bagi aku memahami. ah, sebentar lagi air mendidih, siap untuk secangkir sajak, atau kopi belut. manakah yang anda sukai?

Silakan duduk, maaf aku kurang sopan berbasa-basi. Aku memang pendiam, suka memendam semua dalam hati. ah, aku hanya tidak suka membuang-buang energi. Biarlah amarahku, jadi pembakar semangat di dada sendiri. Panasnya cukup untuk merebus air tiap-tiap pagi, dan boleh sekejap saja siap untuk secangkir kopi belut , atau sajak.

Silakan duduk. Maaf, hari ini aku tidak menonton televisyen. Aku hanya punya buku-buku bacaan barang sedikit. Brosur panel penangkap sinar mentari, atau ini, tabloid khusus paranormal, cocok untuk melarikan diri daripada berita-berita agitasi. Silakan minum. maaf kalau tidak manis, gula ini tiba-tiba menjadi pahit oleh sabda para ulama malam kelmarin di televisyen. Sudah dengarkah anda? para ulama itu membuat ustaz di surauku menangis, dan surau kami bergoyang.

Silakan duduk, apakah khabar anda hari ini?

1 Februari 2012,
Kg. Tranum, Tras, Raub, Pahang

Rabu, 25 Januari 2012

GELIAT WAKIL RAKYAT 5



GELIAT WAKIL RAKYAT 5
Sajak: Arisel Ba

Pilihan raya di adakan dalam masa terdekat
suasana amat menggelisahkan wakil rakyat
mereka hanya ada dua pilihan muktamad
masih dikekalkan sebagai wakil rakyat
atau dibersarakan dengan rela atau paksaan

Dia tidak mahu tragedi ini menimpa dirinya
baru sepenggal dipilih sebagai wakil rakyat
semua orang memanggilnya Yang Berhormat
tetapi sejak mutakhir ada rakyat membencinya
pelbagai fitnah dan tohmah dilemparkan
banyak cerita rekaan, fitnah disebarkan
dan ada isu yang benar membabitkan dirinya
dia tidak berdaya hanya diam, resah dan sugul

Dia terus memeras akalnya berhari-hari
lalu mendapat idea yang bernas sekali
dia perlukan wang, wang yang banyak
buat menyejukkan hati pengundinya
lalu dia menjual tiga buah kereta mewah
dan dijual juga beberapa ekar tanah
yang sebelum ini milik orang kampungnya
ditebus daripada beberapa buah bank

Tujuannya hanya satu:
semoga pimpinan atasan memilih dia
sebagai calon partinya untuk bertanding
dalam pilihan raya akan datang

Dan dalam sebuah majlis mesra rakyat
dia pun berucap berapi-api di atas mimbar
menceritakan jasa yang telah dinikmati
oleh ramai pengundi di kawasannya
diiringi tepukan, ada juga menjuihkan bibir



Ucapnya: “ Bapak-bapak, ibu-ibu, adik kakak.
Hari ini saya akan berikan sedikit wang
untuk meringankan beban kenaikan
harga barangan dan pasti selesa hidup
dalam krisis ekonomi antarabangsa
sedang melanda Negara kita.”

Tiba-tiba dari hujung sebelah kiri
ada suara nyaring garau berkata:
“ Kami tidak mahu wang Yang Berhormat”.

Dia kehairanan dan bertanya:
“ Kenapa wang yang mahu saya beri,
kamu tidak mahu menerimanya?”

Dengan lantang suara itu berkata:
“ Yang Berhormat beri wang kepada kami
sedikit jumlahnya, tidak senilai sokongan
yang kami beri sudah bertahun-tahun,
tetapi kehidupan kami tetap begini,
terus ditipu, ditipu, dan bercakap bohong.
Nanti jika Yang Berhormat dipilih lagi
pasti merompak harta dan kehidupan kami
dengan lebih rakus lagi,” suara nyaring
itu diberi tepukan gamat gempita

Dia diam-diam turun dari mimbar
lantas meninggalkan majlis itu
dengan amat sugul dan berwajah murung

25 Januari 2012,
Kg. Tranum, Tras
Raub, Pahang

Isnin, 23 Januari 2012

HIDUP DI DUA BUAH MUARA



HIDUP DI DUA BUAH MUARA
          : Pimpinlah kami di jalan yang lurus.
Jalan orang-orang yang telah Kau beri kenikmatan,
bukan orang yang Kau murkai, dan bukan orang
yang sesat jalan ( Surah Al-Fatihah, Ayat 6 – 7, Al-Quran
Sajak: Arisel Ba

hidup di dua buah muara
hidup bernafas seekor aku
memintal denyut rasa
antara bahagia dan sengsara

hidup di dua buah muara
hidup bernafas seekor aku
membaca makna cakerawala
antara mata celek menjadi buta

hidup di dua buah muara
hidup bernafas seekor aku
membenih kata demi kata
antara menjadi bapa dan pemuisi

hidup di dua buah muara
seekor aku masih mencari
dirinya semakin tua renta
sesekali sesat di hujung kaki sendiri

24 Januari 2012,
Kg. Tranum, Tras, Raub, Pahang

Jumaat, 30 Disember 2011

SKETSA SANG PENYAIR 5



SKETSA SANG PENYAIR 5
Sajak: Arisel Ba

tatkala aku menghisap pipa tembakau dan menghirup kopi belut, aku memasuki negeri sajak. Negeri sajak ini terbina daripada puluhan kamus kata yang menghuni ratusan belantara kata di mana aku tidak jemu mencari diksi, mencari jalinan struktur dan bentuk sajak dan terus mengguna bahasa pada sajak persis jambatan kayu di atas sungai yang deras di antara Bandar yang sibuk dan belantara yang sepi.

dan ketika mahu menuliskan sajak, aku mengingati ngomelnya Sutardji Calzoum Bachri: Katanya, Arisel, dalam sajak, penyair menciptakan kata-kata (metafora), Konsentrasi seorang penyair ketika menulis sajak hanya pada upaya menciptakan kata-kata, atau susunan kata-kata, itu sebabnya kenapa kata-kata dalam sajak kelihatan aneh dan tidak familiar. Dalam sajak, tekanan pada defamiliarisasi kata-kata atau bahasa.

aku pun menjadi tolol lalu membaca kembali beberapa buah kamus dan mencari kata demi kata, sambil sesekali aku memanggil isteriku: Selamah, buatkan aku lagi secawan kopi belut dan aku melayani ilusi dengan menghembuskan asap pipa tembakau ke dalam negeri sajak.

31 Disember 2011,
Tranum, Tras, Raub, Pahang

Rabu, 28 Disember 2011

SKETSA SANG PENYAIR 4



SKETSA SANG PENYAIR 4
Sajak: Arisel Ba

          : Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah
 telah membuat perumpamaan kalimat yang baik –
seperti pohon yang baik, yang akarnya teguh,
cabangnya menjulang ke langit, pohon itu memberikan
 buahnya di setiap musim dengan seizin Tuhannya.
Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia supaya
mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang
buruk, yang telah dicabut akar-akarnya daripada permukaan
 bumi, tak dapat tegak sedikit pun.
( al-Quran: Surah Ibrahim, ayat 24 – 26 )


aku tidak tahu bahawa selama ini aku dimanipulasikan oleh kata, disandiwarakan oleh bahasa apabila setiap kali aku mencerap hidayah dariNya membius firasat dengan menghunjam hujah falsafah yang tidak ada berkesudahan tatkala aku membicarakan soal diri, isteri, anak-anak, cucu-cucu dan menantu-menantuku.

benar sebagaimana kata Sutardji Calzoum Bachri: Menyair suatu kerjaya serius. Namun penyair tidak harus menyair sampai mati. Dia boleh meninggalkan kepenyairannya bila saja. Tapi kau: Arisel, jika sedang menuliskan sajak, kau harus melakukan secara sungguh-sungguh, seintensif mungkin, semaksimum mungkin. Kau harus melakukan pencarian-pencarian, kau harus mencari dan menemukan bahasa. Yang tidak menemukan bahasa takkan pernah disebut penyair.

Yang, aku seorang penyair, lantaran sambil aku menghirup asap dari pipa tembakau, aku mengarah: Wahai Selamah, buatkan aku secawan kopi belut!

29 Disember 2011,
Tranum, Tras, Raub, Pahang

Ahad, 18 Disember 2011

BUKAN TIDAK MAHU BICARA



BUKAN TIDAK MAHU BICARA
sajak: arisel ba

bukan aku tidak mahu bicara
perihal ideologi diri beragam strategi
kerana jika bicara mengenai kenegaraan
aku rasai denyut nafas rakyat dimanipulasikan
politikus sudah lama membius dengan slogan
demi perjuangan agama, bangsa dan Negara
dengan kedua mataku dibutakan
telinga ditulikan, mulut dibisukan
dengan pelbagai program membasuh otak

bukan aku tidak mahu bicara
perihal prinsip diri beragam strategi
kerana jika bicara mengenai kehidupan
aku rasai denyut nadi rakyat disandiwarakan
politikus sudah lama membius dengan slogan
demi perjuangan sosiobudaya dan angka ekonomi
dengan turun naik nilai saham bahan komoditi
turun naik harga barangan pengguna bersubsidi
bekalan air di subsidi
bekalan elektrik di subsidi
minyak dan beras ada subsidi
persekolahan anak-anak pun bersubsidi
hidup rakyat jelata dalam penjara subsidi

bukan aku tidak mahu bicara
biarkan aku dengan kebutaan
biarkan aku dengan ketulian
biarkan aku dengan kebisuan
kerana buta, tuli, bisu bukan penyebab
menyembunyikan telur kejantananku
mencerap segala rintangan dan cabaran
meneruskan perjuangan tanpa batasan
mungkin ada sedikit waktu untuk diri ini
aku teguhkan solat dan zikir kepada Allah
dan mungkin tiba waktunya nanti
aku akan kembali berbicara
perihal ideologi diri, mengenai prinsip diri

bukan aku tidak mahu bicara
tunggu tatkala aku siap siaga
mengatur bidak-bidak strategi
hari ini aku undur selangkah ke belakang
esok aku melompat lima langkah ke hadapan

18 Disember 2011,
Tranum, Tras, Raub, Pahang